Pages

Saturday 2 May 2020

Cinta atau Obses?

Dalam hidup aku, banyak yang telah aku lalui berkaitan dengan cinta. Ada orang yang aku jumpa sangat baik tetapi ada juga kelemahan dari segi agamanya. Yang kadang boleh menarik aku sendiri ke lembah yang hina. Jadi, untuk mengelakkan kesilapan yang lebih ketara berlaku, aku putuskan hubungan itu. Tetapi waktu itu bukanlah waktu yang tepat sebab ada silapnya aku juga. Selepas itu, aku terjumpa lagi dengan manusia yang lain. Dia hadir dalam hidup aku, di saat aku sedang berduka. Aku bukanlah seorang yang senang untuk membuka hati untuk orang lain. Tetapi entah kenapa, aku begitu mudah terjatuh hati pada insan ini. Mungkin dalam diri dia ada ciri yang aku idamkan. Saat mula perkenalan semuanya indah walaupun perangainya bukanlah jenis yang aku impikan, malah sangat kurang untuk mencapai ciri yang aku impikan. Tetapi dari segi rupa, pendidikan dan taraf keturunan mungkin sekufu denganku. Disebabkan itu, aku terima dia dalam hidup aku.

Tapi sayang, hari demi hari, minggu demi minggu malah sekarang sudah setahun aku bersama dengannya. Aku selalu hidup dalam kekecewaan, kemurungan, ketidakpuasan hati dan pelbagai lagi perasaan yang bercampur baur. Setiap hari aku cuba untuk bahagiakan diri aku sendiri tanpa sedikitpun keprihatinan dia terhadap diri aku. Sampaikan, sekarang ini aku sudah membiasakan diri aku dengan layanan dia terhadap aku. Mungkin aku telah tawar hati? Walaupun begitu, hati aku tetap tidak mahu lepaskan dia. Setiap kali aku terfikir untuk lepaskan diri aku dari belenggu ketidak gembiraan ini, aku berpatah balik kembali kepada dia. Dengan sedikit ayat yang tidak seberapa yang dilontarkan olehnya kepada aku, aku buang semua luka dan duka yang dia telah lakukan kepadaku dengan sekelip mata. Akhirnya, cerita ini kembali kepada sedia kala kembali, dan aku tersakiti lagi. Tersakiti dengan memendam rasa sendiri.

Kawan-kawan dan keluarga selalu menasihati aku, tetapi diri aku sendiri yang berdegil kerana terus mempertahankan dia lagi. Adakah ini cinta? atau hanya keobsesan aku untuk mendapatkan lelaki yang serba serbi sempurna di mata orang ramai?. Ya, aku mengaku, luarannya dia, sangat sempurna, serba serbi pandai mungkin idaman ramai wanita. Tetapi dalamannya cukup melukakan hati kecil aku. Sekarang, cinta aku terhadap dia kian lemah, mungkin sudah tawar hati. Sekarang aku tidak lagi menunjukkan sikap keterujaan aku setiap kali dia menegur. Apa yang aku fikir, aku ingin mengikuti sahaja kemana arus air ingin membawa aku pergi. Aku hanya mampu berdoa dan bergantung kepada takdir agar ada sinar dalam hubungan aku dengan dia. Jujur, aku sangat sayangkan dia.

- Nota Hati -